Masshead02
Keep Yourself up to Date
Our Most Recent News

Mara sasar lahirkan dua juta usahawan dalam 50 tahun

news001 bigKUALA LUMPUR 18 Julai – Majlis Amanah Rakyat (Mara) me­nyasarkan seramai dua juta usahawan dapat dilahirkan dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran tersebut diyakini boleh dicapai memandangkan agensi berkenaan telah pun melahirkan seramai satu juta usahawan sejak penubuhannya pada tahun 1966.

Menurut beliau, Mara turut memperuntukkan sebanyak RM1 bilion pada setiap tahun untuk membantu para usahawan dari segi pembiayaan dana pinjaman, bimbingan latihan dan aktiviti-aktiviti keusahawanan berkaitan. 
“Mara mempunyai pelbagai program untuk menggalakkan rakyat di negara ini menceburi bidang perniagaan keusahawanan dan ia berterusan sehingga ke hari ini.
“Bersesuaian dengan sambutan ulang tahun ke-50 Mara tahun ini kita meletakkan sasaran untuk menggandakan angka tersebut kepada dua juta usahawan menjelang tahun 2066,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan bangunan baharu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School dan Sambutan Hari Raya Mara 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob; Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad dan Pengerusi UniKL, Datuk Dr. Adham Baba.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, UniKL turut meletakkan sasaran 20 peratus daripada 26,000 pelajarnya untuk terlibat dalam keusahawanan.

Katanya, sasaran itu berjaya apabila seramai 800 hingga 1,000 graduan universiti itu menjadi usahawan pada setiap tahun.

Ismail Sabri memberitahu, UniKL telah merangka pelbagai inisiatif bagi membangunkan usahawan-usahawan muda seperti program Genesis yang merupakan program Tekno Usahawan bagi melahirkan 1,000 usahawan dengan menggalakkan mereka membangunkan pelan perniagaan sendiri di akhir semester pengajian sekali gus akan dianugerahkan Skim Perniagaan Mara bernilai RM50,000 jika layak.

“UniKL Business School juga menjalinkan kerjasama strategik antaranya dengan Perbadanan Usa­hawanan Nasional Berhad, SME Bank Bhd. (SME Bank), Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (Cedar) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) untuk memberi khidmat nasihat dan latihan keusahawanan.

“Untuk terus menyokong usahawan-usahawan muda ini setelah tamat pengajian nanti, UniKL Business School melalui Teknoputra akan terus memantau siswazah yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dengan memberikan bantuan, sokongan serta latihan berterusan­ supaya usahawan-usahawan ini akan terus berkembang dan berjaya,” katanya.

Published in Utusan Malaysia, 19 July 2016