Masshead02
Keep Yourself up to Date
Our Most Recent News

Malaysia Peneraju Pembangunan Kewangan Islam

Mohd. Radzif Mohd. Yunus (belakang kanan) dan Bakarudin Ishak (belakang kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Adnan Alias (depan kiri) dan Sheikh Ghazali Sheikh Abod (depan kanan) di Kuala Lumpur, semalam. utusan/Mohd Shaharani Saibi
KUALA LUMPUR 29 April – Malaysia kini peneraju dalam pembangunan kewangan Islam dunia menerusi kejayaan program Pembangunan Perbankan Islam Bertauliah (ChIDB), iaitu kerjasama strategik antara SME Bank Bhd. (SME Bank), Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR) dan Institut Kewangan dan Perbankan Islam Malaysia (IBFIM)

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus berkata, menerusi program berkenaan, ia dapat meletakkan industri kewangan dan perbankan Islam di tempat yang lebih tinggi dan moden di samping terus komited menjadi penyumbang pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut beliau, ChIDB merupakan program pertama yang diperkenalkan dalam segmen kewangan Islam dan dijangka menghasilkan tenaga profesional yang kompeten dalam industri tersebut. Jelasnya, program itu menawarkan konsep baharu kepada Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) dan perkara berkenaan sejajar dengan konsep sedia ada seperti Perbankan Bertauliah (Chartered Banker) yang dikendalikan oleh Institut Bank-Bank Malaysia (IBBM) dan Perbankan Islam Bertauliah (CIB) yang dikendalikan oleh IBFIM.

“Kita percaya inisiatif yang dilaksanakan mempunyai potensi untuk menjadi penerajui dan pemain utama dalam program profesional kewangan dan perbankan Islam dalam dan luar negara di samping terus mempertingkatkan kualiti dan memperoleh akreditasi bagi pengiktirafan antarabangsa,” katanya ketika berucap dalam majlis konvokesyen ChIDB di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Bakarudin Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif IBFM, Datuk Dr. Adnan Alias dan Ketua Pegawai Operasi Cedar, Dr. Sheikh Ghazali Sheikh Abod.

Seramai 296 kakitangan SME Bank menjadi kumpulan pertama menamatkan program profesional berkenaan yang bermula pada tahun lalu.

Tambah Mohd. Radzif, Cedar dan IBFIM telah bersetuju untuk memperluaskan skop kerjasama termasuklah bidang latihan pembangunan kewangan Islam untuk kakitangan SME Bank, pelanggan dan bakal pelanggan.

Program ChIDB dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu peringkat sijil bagi CIDB, pertengahan PIDB dan lanjutan ChiDB.

Jelas beliau, antara fokus utama ialah, mereka yang terlibat akan didedahkan dengan kewangan Islam gunaan, pengurusan risiko pembangunan perbankan di samping lima pilihan elektif seperti pengurusan kekayaan, ekosistem perniagaan kontemporari, operasi perbankan Islam dan urus tadbir syariah.

Published in Utusan Malaysia, 30 April 2015