Masshead02
Keep Yourself up to Date
Our Most Recent News

SME Bank Mahu Salur RM2.2 billion Pembiayaan

news001 bigKUALA LUMPUR 10 Mei – SME Bank optimis untuk menyalurkan sebanyak RM2.2 bilion pembiayaan patuh syariah pada tahun ini, sekali gus mencapai kadar 90 peratus ke arah institusi pembangunan kewangan berasaskan syariah sepenuhnya.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus berkata, setakat Disember 2014, sebanyak 85 peratus pembiayaan patuh syariah bernilai RM4 bilion telah diluluskan.

Katanya, SME Bank menyalurkan pembiayaan patuh syariah bernilai RM2.7 bilion pada tahun lalu. Ujar beliau, SME Bank memulakan inisiatif untuk menjadi penyedia kewangan Islam sejak Mei 2012 menerusi ‘Project Wisdom’ untuk menukarkan sistem perbankan konvensional kepada sistem perbankan patuh syariah.

“Usaha ini sejajar dengan aspirasi Bank Negara Malaysia (BNM) melalui pelan induk kewangannya yang menyasarkan sektor kewangan di Malaysia menjadi Hab Kewangan Islam lebih berdaya saing dan berinovatif.

“Oleh itu, lebih 300 kakitangan SME Bank diberi latihan bagi memenuhi kepatuhan undang-undang syariah oleh Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM),” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Radzif, pelanggan SME Bank turut diberi penerangan yang mendalam oleh kakitangan kumpulan perbankannya berkenaan kebaikan sistem perbankan patuh syariah. Jelasnya, pembayaran ansuran pembiayaan pelanggan SME Bank kekal tidak berubah dan tiada caj untuk bertukar ke sistem perbankan patuh syariah kerana segala kos ditanggung oleh pihak bank.

“Sistem perbankan Islam lebih sesuai digunakan kerana pendekatannya lebih menyeluruh. Ia memberi keadilan kepada semua pihak dan segala transaksi dilakukan adalah berdasarkan aktiviti perniagaan yang tulen.

“Prinsip ini disokong oleh nilai-nilai teras perbankan Islam yang menggalakkan keusahawanan serta aktiviti perdagangan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat malah sistem ini melarang aktiviti yang bersifat spekulatif,” katanya.

Published in Utusan Malaysia, 11 May 2015